Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Rusia Rushan Hazrat Abbyasov dengan pelbagai isu Islam dibincangkan termasuk perbankan Islam, pendidikan dan industri halal di Vladivostok, Rusia hari ini.
PM Anwar dalam rangka lawatan kerja ke Rusia pada Rabu hingga Khamis bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 di Vladivostok dan dijadual bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin.
Perdana Menteri berkata perbincangan tersebut menyentuh mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia yakni Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan lainnya.
"Industri halal yang terus berkembang lantas meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Rusia di sektor ini.
"Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya," kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
"Kunjungan ke Rusia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah."
Hadir sama dalam pertemuan itu wakil diplomat Jabatan Spiritual Wilayah Timur Jauh Jamal Sirenevich Garifullin.
Anwar berkata pertemuan itu ternyata menjadi satu peringatan kepada hubungan terdalam warga Muslim di kedua-dua negara, melangkaui jarak serta benua yang memisahkan mereka.
"Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia. Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan," ujarnya.
Terdahulu sebaik tiba di Vladivostok, Anwar menerima kunjungan hormat dari Ketua Republik Wilayah Tatarstan, Rustam Minnikhanov yang telah melakukan kunjungan ke Malaysia pada bulan lalu.
"Pertemuan tersebut tentunya bagi meraikan persahabatan erat antara Malaysia dan Republik Tatarstan selain turut membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama dari segi ekonomi dengan pelabur-pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Russia-Islamic World Strategic Vision Group.
"Saya juga mengambil peluang menerangkan hala tuju malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan polisi yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan," kata beliau.
Lawatan kerja itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Ia merupakan lawatan pertama PM Anwar ke Rusia sejak menyandang jawatan pada November 2022.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan di Sesi Plenari EEF Ke-9, forum ekonomi tahunan yang diadakan sejak 2015 di rantau Timur Jauh Rusia bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan.
Sesi Plenari EEF Ke-9, dengan tema “Combining Strength to Create New Potential”, akan dihadiri oleh dif-dif kehormat asing dan tempatan, penggubal dasar, ahli akademik, dan peneraju industri.
Anwar juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Putin dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
*Kredit foto: Fath Rizal & Suhairi/PMO
Comments