Perdana Menteri (PM) Datuk seri Anwar Ibrahim petang tadi selesai menghadiri upacara angkat sumpah dan pelantikan rasmi Jeneral (B) Prabowo Subianto (gambar atas) serta Gibran Rakabuming Raka sebagai Presiden dan Naib Presiden Republik Indonesia (RI) di sidang Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Senayan, Jakarta.
Beliau yang berkunjung sejak semalam dan menghadiri makan malam empat mata dengan Prabowo berharap hubungan Malaysia dan Indonesia akan terjalin lebih akrab selepas ini.
"Saya hadir dalam majlis yang penuh bermakna dan penting ini dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat bangsa Indonesia.
"Insya-Allah, Malaysia akan terus menjadi rakan strategik Indonesia selain meningkatkan jambatan rasa dan ikatan persahabatan kedua negara bersaudara ini," katanya di Facebook rasminya.
Dalam catatan itu, PM turut memuji Presiden RI sebelum ini, Joko Widodo (Jokowi) yang juga merupakan rakan karib beliau dan sering mengundangnya ke Indonesia.
"Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden RI ke 7, Bapak Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang beliau hulurkan kepada Malaysia sepanjang menjadi Presiden mulai 20 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2024," katanya.
Anwar berharap perjalanan panjang politik Prabowo, termasuk tewas sebagai calon Pemilu Presiden RI sebelum ini dan kemudian bergabung dengan pentadbiran Jokowi sebagai Menteri Pertahanan akan menjadikannya pemimpin yang ampuh dan berjiwa besar bagi RI.
"Saya yakin beliau (Prabowo) akan berkhidmat sepenuh hati serta akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat dan harkat rantau ini ke tingkat yang lebih baik," katanya lagi.
Anwar pulang ke Malaysia petang tadi dengan iringan selamat jalan rasmi di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma, Jakarta.
*Gambar ihsan: Facebook Anwar Ibrahim
Comments