PM Anwar sambut ketibaan Presiden Xi Jinping untuk lawatan negara
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia hari ini bagi mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 dengan penganalisis menyatakan ia menyerlahkan kedudukan neutral Malaysia di tengah ketidaktentukan geoekonomi global.
Pesawat khas yang membawa Presiden China itu mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 petang, lapor agensi berita nasional, Bernama.
Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Sebaik tiba, Xi memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Leftenan Mohamad Nafis Norshid.
Sambutan ketibaan Presiden China itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan gabungan irama gendang tradisional Melayu, Cina, dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak, Selangor.
Kumpulan pancaragam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang turut mempersembahkan lagu "Lenggang Kangkung."
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata sepanjang lawatan itu, Xi dijadual mengadakan kunjungan menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.
Xi bersama anggota delegasinya dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan negara pertama Xi pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Kali terakhir Presiden China itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia ialah pada 2013, menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, demikian menurut Wisma Putra.
Dalam pada itu, lawatan Xi itu tidak boleh disalah anggap bahawa Malaysia condong kepada China dalam keadaan persaingan republik itu dengan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya ia menunjukkan sikap neutral Kuala Lumpur, kata pakar geostrategik, Dr Azmi Hassan.
"Ia merupakan usaha mengekalkan sikap neutral. Ya betul kita memerlukan sokongan AS terutamanya dalam menghindari tarif tetapi kita bersikap terbuka kepada negara dagang lain dan China merupakan sebahagian daripadanya," kata felo kanan Akademi Nusantara bagi Kajian Strategik yang dipetik dari News Staits Times.
Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dengan kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan itu pada tahun lepas.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.
Jumlah dagangan dua hala bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).
Sebagai Pengerusi ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China, kata Kementerian Luar.
Menurut Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar, usaha itu akan diteruskan melalui dialog, saling mempercayai dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.
Comments