Oleh: Akmal Manaf
Perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel yang akan berkuat kuasa mulai esok bakal memberi peluang kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggembleng negara Islam dan masyarakat antarabangsa bersama sama membangunkan semula Palestin.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan gencatan senjata itu juga boleh membuka peluang kepada pemimpin Islam lain untuk turut sama mengusahakan perdamaian berkekalan antara Palestin-Israel.
"Saya kira apabila gencatan berlaku, tiba masanya pemimpin-pemimpin Islam termasuk Datuk Seri Anwar, malah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto juga boleh memainkan peranan proaktif.
"Inilah peluang untuk pemimpin-pemimpin negara Islam termasuk juga Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (untuk memainkan peranan proaktif).
"Namun saya berpendapat, Datuk Seri Anwar lebih dinamik dan mempunyai hubungan antarabangsa yang sejarahnya begitu panjang," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang akan bermula Ahad ini.
Gencatan senjata itu juga membolehkan Malaysia mengembangkan misi bantuan kemanusiaan di Gaza yang merupakan antara agenda utama Anwar.
Ditanya sama ada Anwar dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang mengusulkan kumpulan negara penyumbang pembangunan semula Palestin mampu melakukannya, ahli akademik itu berpendapat, kedua-dua pemimpin itu perlu bekerjasama dengan pemimpin dunia lain yang prihatin terhadap isu kemanusiaan di Palestin.
Ujarnya, ia untuk memastikan keamanan itu bukan hanya impian yang sudah berpuluh tahun tidak tercapai, tetapi perlu direalisasikan dalam masa terdekat.
"(Pertempuran perlu dinoktahkan) untuk mengelakkan kekejaman dan penganiayaan terus berlangsung di mata dunia," katanya.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dijemput Jepun untuk menjadi pengerusi bersama persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang memfokuskan pembangunan semula Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai.
Comments