Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu meluncurkan Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, Anwar menjelaskan modul latihan yang dihasilkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) itu bagi mengenang sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan negara serta daya juang rakyat.
"Dalam modul ini, kita hargai sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, dari semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai jasa tetapi menghargai sumbangan jasa lama itu tidak mengikat kita dalam keadaan yang beku.
"Bayangkan ibu bapa miskin, sanggup menyerahkan cincin, gelang dan rantai, (jadi) bekalan untuk pemimpin terbang (menaiki pesawat), biaya ke London, berbincang dengan Inggeris (penjajah) untuk tuntut kemerdekaan, namun semangat ini kadang-kadang pudar kerana kita sibuk dengan kepentingan diri tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat.
"Seperti mana disebut oleh pemikir Perancis, untuk menilai sumbangan pejuang, pemikir terdahulu, bukan semata-mata menyatakan penghargaan atau melupakan mereka tetapi menyemarakkan semangat yang mereka tanam, ini tugas anak-anak muda yang ramai hari ini," katanya dipetik.
Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan MADANI.
Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan, menggabungkan kaedah konvensional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.
Tiga elemen utama diadun untuk menghasilkan modul Program Latihan Kenegaraan berteraskan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia MADANI, yang mana modul yang dibangunkan adalah berbentuk kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam.
Menyentuh mengenai Akademi Kenegaraan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia menjadi medan serta gelanggang untuk menanam kasih sayang, semangat perpaduan dan cintakan negara.
Justeru Anwar berharap melaluinya, anak-anak muda akan kembali ke landasan untuk bersama-sama mengenali sejarah negara termasuk kemerdekaan hasil sumbangan dan penyertaan semua kaum.
"Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan mahu mengangkat negara, mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, semangat kecintaan kepada negara serta keyakinan bahawa negara ini mampu diangkat sebagai negara hebat di mata dunia.
"Ini dengan dasar yang kita cerakin secara jelas, bahawa Malaysia adalah negara dagang, memerlukan kekuatan induk tetapi memerlukan keyakinan luar dan pelaburan," katanya.
Comments