Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang berserta delegasi kedua-dua negara pada hari ini membincangkan isu geopolitik serantau serta berkaitan kepentingan bersama.
Perdana Menteri (PM) berkata mesyuarat selama lebih satu jam itu turut menyentuh potensi kerjasama ASEAN-China di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun depan meliputi Dasar Satu China dan situasi di Laut China Selatan.
"Saya nyatakan keperluan untuk China memainkan peranan dalam soal krisis kemanusiaan di Myanmar, selain menzahirkan penghargaan atas sokongan tegas China terhadap Palestin.
"Saya turut mengambil kesempatan untuk menjemput Presiden Xi Jinping untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia secepat mungkin," kata Anwar dalam hantaran di X hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan itu membincangkan potensi memperluas hubungan perdagangan kedua-dua negara dengan ketika ini, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas.
"Mesyuarat ini turut menyentuh kemajuan projek antara kedua-dua negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi serta beberapa bidang lain yang berpotensi untuk diteroka bersama termasuk kenderaan elektrik, pelancongan, pertanian, ekonomi digital, pendidikan dan teknologi," katanya.
Anwar berkata, beliau dan Li juga menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan yang terjalin erat antara kedua-dua negara, berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama di bawah konsep MADANI dan 'Komuniti Masa Depan Bersama.’
Perdana Menteri juga mengalu-alukan lebih banyak perkongsian strategik dan pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia sebagai kesinambungan terhadap prestasi pelaburan tahun lepas yang mana sebanyak 64 pelaburan China bernilai AS$2.6 bilion diluluskan dan membabitkan hampir 10,000 peluang pekerjaan baharu.
Selain itu, Anwar juga menzahirkan penghargaan di atas kunjungan penuh bermakna delegasi China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Li tiba malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari yang merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas.
Comments