top of page

PM Anwar ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak CEO APEC



Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lima, Peru malam tadi bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November.


Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke Peru sejak memegang jawatan pada 2022.


Perdana Menteri berkata, beliau akan menekankan komitmen Malaysia pada persidangan tersebut bagi mengukuhkan kerjasama selain memupuk pembangunan saksama dan inklusif buat semua.


"Selain APEC, saya juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra serta berinteraksi bersama komuniti perniagaan Malaysia dan Peru. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik buat negara dan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Terdahulu ketibaannya di Pangkalan Udara Tentera di Lima disambut dengan kawalan kehormatan statik oleh Menteri Pengeluaran Peru Sergio González Guerrero, Ketua Pengarah Protokol dan Istiadat Negara, Duta Besar Luis Escalante Schuler, Ketua Pangkalan Udara Jeneral Julio Cesar Gutierrez dan pegawai tentera udara Peru, lapor Bernama.


Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Peru Ahmad Irham Ikmal Hisham.


Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Selain itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii bersama pegawai kanan kerajaan turut mengikuti rombongan perdana menteri itu.


Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.


Malaysia dan Peru adalah ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).


Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.


Terdahulu menurut Wisma Putra, pertemuan Anwar dengan Presiden Dina Ercilia akan membincangkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Peru, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal selain mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua negara.


Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman, kata Kementerian Luar.


Tambahnya, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

0 comments

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page