Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menyelesaikan segera mana-mana perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah disepakati antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
Bagi tujuan itu jelasnya, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof telah diarahkan untuk mempengerusikan Majlis Tindakan MA63.
"Sedaya upaya (Kerajaan Persekutuan dan Sabah) selesaikan soal MA63. Dalam tempoh setahun kerajaan madani, kita telah menyelesaikan MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat pada 10 tahun lalu," katanya dipetik ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang pada Jumaat.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan pimpinannya tidak ada masalah sama sekali untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam MA63.
Malah Kerajaan Persekutuan juga sentiasa peka dengan keperluan Sabah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk menangani masalah dihadapi negeri itu, malah peruntukan disalurkan kepada Sabah juga adalah lebih tinggi berbanding negeri lain.
"Sejak saya jadi Perdana Menteri, berbanding dengan keadaan sebelumnya, tahun 2022 peruntukan keseluruhan untuk Sabah RM12.9 bilion, (tahun) 2024 saya tambah jadi RM16 bilion.
"Jadi, orang yang menyerang kita harus ingat, betul kita belum putuskan soal 40 peratus (tuntutan hasil dari Sabah), tetapi RM16 bilion ini jauh melebihi angka 40% yang dijanjikan itu. Kita harus lihat keseluruhan, boleh buat tuntutan, boleh lihat perjanjian dan beberapa peruntukan yang disepakati.
"Saya baru jadi Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan Madani baharu satu setengah tahun, tetapi dalam tempoh ini, saya meningkatkan peruntukan Sabah…tambah RM4 bilion, tertinggi dalam negara kita," katanya lagi.
Comentarios