Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan ke Sabah, tiba di Jakarta, Indonesia untuk menjadi tetamu kehormat Upacara Pelantikan Presiden dan Wapres Republik Indonesia.
Malam tadi Anwar disambut sebagai rakan peribadi Presiden Terpilih Prabowo Subianto. Beliau kemudiannya dijamu makan malam berdua di kediaman Probowo di Jalan Kertanegara, Jakarta Selatan untuk perbincangan santai mengimbau masa lalu dan masa seterusnya.
"Malam ini langsung ketemu sahabat sejati dan saudara saya Bapak Prabowo Subianto.
"Insya-Allah, kami akan bekerja dengan lebih dekat dalam suasana persahabatan, tidak hanya di peringkat peribadi, tetapi juga di peringkat kenegaraan yang pasti akan memberi manfaat terbaik kepada rakyat kedua-dua negara," kata Anwar dalam catatan di Facebook rasminya.
Turut beredar klip video pertemuan tersebut dengan Prabowo mengusik berkata, "Kakak (abang) saya ini" menunjuk Anwar dan mereka ketawa bersama.
Prabowo Subianto dan regunya (timbalan) Gibran Rakabuming Raka diisytihar pemenang pilihanraya presiden (Pemilu) Republik Indonesia oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada bulan April lalu dan menunggu pelantikan rasmi selama enam bulan selepas itu.
Prabowo-Gibran menang setelah memperoleh 96,214,691 undi atau 58,59% dari keseluruhan undi dan memenuhi syarat minimum 20% undi di lebih dari setengah jumlah wilayah di Indonesia.
Comments