PM Anwar diangkat sebagai negarawan Selatan Global
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 1 min read
Updated: Apr 9

Oleh: Sandy Zaliu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin menonjol sebagai suara berpengaruh dalam kalangan negara-negara membangun dengan pendekatan kepimpinannya yang berpaksikan prinsip keadilan sejagat dan tatakelola berintegriti.
Menurut satu artikel terbitan The Vibes, Anwar bukan sahaja dikenali sebagai tokoh reformasi di Malaysia, malah kini digambarkan sebagai negarawan yang mampu menyatukan aspirasi negara-negara Selatan Global dalam usaha mewujudkan sistem dunia yang lebih adil dan seimbang.
"Anwar mahu bekerja dalam ASEAN untuk meningkatkan usaha kolaboratif untuk memberi manfaat kepada penduduk negara anggota mereka melalui pembangunan ekonomi yang pesat dan kerjasama politik yang mengatasi isu-isu yang melibatkan negara individu," kata artikel yang ditulis oleh Sanjeev Krishna, sarjana di St George’s University of London.
Selain itu, tulisan berkenaan juga menyebut bahawa Anwar lantang memperjuangkan isu Palestin dan sering menyeru kepada pembaharuan sistem pelbagai hala yang menurutnya semakin pincang dan berat sebelah.
Malaysia di bawah kepimpinan Anwar dilihat sebagai suara moral dan strategik yang dihormati di pentas antarabangsa.
Pengaruh beliau yang semakin meluas turut mencerminkan harapan baharu bagi negara-negara membangun, khususnya di rantau ASEAN, yang sekian lama terpinggir daripada arus perdana geopolitik global.
"Anwar Ibrahim membentangkan visinya untuk Renaissance Asia hampir tiga dekad lalu.
"Kini beliau berhasrat untuk memastikan ASEAN+ menjalani kebangkitan kedua dan bekerjasama untuk memberikan manfaat kepada penduduk Selatan Global dengan mengubah kehidupan ramai, bukan hanya segelintir yang mempunyai keistimewaan," katanya lagi.
Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025 sekaligus menjadikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai tumpuan dunia bagi isu isu melibatkan Asia Tenggara, khusus berkenaan perkembangan ekonomi dan perdagangan sebagai rantau utama sedang berkembang.
Comments