
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai jadual ketat dalam lawatan di Vietnam, malam tadi sempat bertemu rakan sejawatannya Presiden Republik Demokratik Timor Leste, José Ramos-Horta.
Pertemuan itu membincangkan mengenai peranan lebih meluas syarikat Malaysia di Timor Leste dalam pembangunan republik tersebut.
"Dari pembangunan infrastruktur, industri halal, pendidikan tinggi, hingga perdagangan, kedua-dua negara terus berusaha meningkatkan peluang ekonomi dan kemakmuran bersama.
"Dengan lebih 200 syarikat Malaysia yang beroperasi di Timor Leste dan kerjasama dalam bidang TVET serta biasiswa pendidikan, masa depan hubungan ini ternyata semakin cerah dan penuh harapan," kata Anwar dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, katanya, penerbangan terus ke Dili yang bakal diluncurkan kelak akan mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara, memudahkan perniagaan, pelancongan dan pendidikan.
Malaysia juga kata beliau, komited untuk membantu Timor Leste dalam proses keahlian penuh ke dalam ASEAN dan akan memastikan penyertaan negara itu berjalan lancar.
Comments