Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi bertemu kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan Mesir dalam sesi meja bulat bagi dialog peluang perniagaan di Malaysia.
Sesi itu juga turut dihadiri Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib.
"Sesi ini dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara kita.
"Beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui dibincangkan dalam sesi yang produktif ini," kata Anwar di Facebook.
Beliau berharap dengan polisi Kerajaan MADANI yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan di samping pengiktirafan sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di Asia Tenggara maka lebih banyak peluang perniagaan atau usahasama boleh dilakukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ke peringkat global.
Comments