Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur pada 12 Disember depan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pejabat itu akan berperanan membantu kerajaan menggubal polisi bersesuaian dengan pembangunan AI dengan fokus kepada empat aspek iaitu pelaburan digital, inovasi, polisi dan tadbir urus.
"Pejabat AI Kebangsaan ini akan dilancarkan pada 12 Disember ini oleh Perdana Menteri di Kuala Lumpur.
"Ada beberapa aspek kita lihat dalam pembentukan Pejabat AI Kebangsaan, yang mana pertamanya mengenai pelaburan digital dalam sektor AI dan kedua, bagaimana kita pastikan inovasi dapat diperkasakan dalam AI.
"Ketiga, kita melihat juga aspek polisi dari sudut kerajaan iaitu bagaimana polisi yang akan meningkatkan AI untuk bergerak ke depan dan keempat mengenai tadbir urus, sama ada perlukan undang-undang atau tidak dalam aspek AI," katanya dipetik pada perasmian Sidang Kemuncak Ekosistem Rantaian Bekalan Pusat Data GDS di Johor Bahru pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Ching Tong serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS Holdings Ltd William Huang.
Sidang kemuncak sehari itu menarik sekitar 400 peserta dari dalam dan luar negara serta pembekal dari China, Malaysia, Amerika Syarikat dan Jepun, yang membentangkan perkhidmatan dan penyelesaian pusat data terkini mereka dalam format pameran.
Pada acara itu, Gobind dan Onn Hafiz menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara GDS International dengan lima syarikat pembekal utama untuk membangunkan sistem rantaian pembekal di Malaysia.
Sementara itu menurut Gobind, dalam menyiapkan Malaysia ke arah AI, ia bukan sekadar perlu dilihat dari aspek bagaimana ia akan membawa kebaikan tetapi juga risiko teknologi itu agar dapat diseimbangkan.
Comments