Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Brunei hari ini bagi lawatan kerja bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-25 antara kedua-dua negara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan, pada lawatan kerja dua hari itu Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Rundingan Pemimpin Tahunan itu adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dengan Brunei. Anwar bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan beberapa isu tertunggak.
"Sebagai jiran rapat serta rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
"Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala. Rundingan Pemimpin Tahunan ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa serta kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa serta warisan," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Tahun lalu Brunei muncul sebagai rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 bilion.
Comments