Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.
Perdana Menteri berkata, sesi itu merupakan susulan daripada pertemuan mereka di Amerika Syarikat (AS) tahun lepas.
Beliau berkata ketika sesi tersebut Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang yang boleh diperluaskan pihaknya di Malaysia berdasarkan penerangan sebelum ini oleh Perdana Menteri mengenai misi dan tumpuan kerajaan Malaysia.
"Alphabet dan Google amat mengalu-alukan kepimpinan, komitmen dan kepantasan pemudah cara yang telah diberikan kerajaan Malaysia sejak pertemuan lalu," kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata perbincangan mereka turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) berkaitan sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.
"Saya tegaskan bahawa ikhtiar-ikhtiar ini akhirnya perlu membawa manfaat ekonomi dan sosial yang menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana kelompok masyarakat terutamanya dari segi literasi teknologi," katanya.
Beliau berharap usaha itu akan membuahkan hasil terutama dalam melancarkan perancangan transisi teknologi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Pada November 2023, kerajaan Malaysia dan Google mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.
コメント