Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet memohon lesen dilihat tepat memandangkan terdapat platform tersebut sebelum ini tidak mematuhi undang-undang negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan rekod terdapat ranking yang berbeza beza tahap pematuhan platform media sosial terhadap undang-undang Malaysia.
Katanya, Instagram sebagai contoh mencatat kadar pematuhan sebanyak 88%, diikuti Facebook (85%), WhatsApp (79%), TikTok (76%), Telegram (65%) dan X dengan kadar pematuhan terendah pada 25%.
Susulan itu, dalam pertemuan dengan wakil pelbagai platform termasuk Meta, Google, TikTok dan Tencent dalam lawatan kerja tiga hari di Singapura, Fahmi berkata, kesemua mereka mengakui keperluan untuk patuh kepada syarat baharu yang memerlukan lesen beroperasi.
"Pertemuan saya dengan platform media sosial sangat produktif. Mereka mengakui bahawa Malaysia adalah pasaran penting bagi platform masing-masing.
"Saya gembira untuk mengatakan bahawa semua platform media sosial ini bersedia untuk turut serta (dalam kerangka baharu)," katanya dipetik Bernama.
Jelasnya, pertemuan yang berakhir semalam itu turut membincangkan kawal selia baharu dan potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram bagi memastikan platform media sosial lebih selamat.
Melalui itu, kata Fahmi, pihak MCMC akan menerbitkan FAQ (soalan kerap tanya) pada 1 Ogos yang akan memberikan butiran lanjut mengenai kerangka dan mekanisme pelesenan berkenaan.
コメント