Pembelaan berterusan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ke atas syarikat Sapura Energy Berhad (Sapura) menimbulkan pelbagai tanda tanya, di tengah tengah ribuan syarikat lain yang juga menghadapi masalah kewangan tetapi tidak disentuh oleh Ahli Parlimen Pekan itu.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, Sapura bukanlah syarikat berprestasi cemerlang yang amat perlu diselamatkan sebagaimana diperkatakan Najib.
Menurut beliau, rakyat perlu diberitahu mengenai kerugian 3 bulan terkini dari Oktober 2021 hingga Januari 2022 syarikat berkenaan yang mencecah RM6.6 bilion dan kerugian terkumpul setahun sebanyak RM8.9 bilion.
Manakala hutang jangka masa pendeknya pula, dakwa ADUN Semambu itu, sudah mencecah RM16 bilion.
"Kita sedia maklum harga minyak sudah mencecah AS$ 100 setong sekarang dan kebanyakan syarikat yang berkaitan minyak dan gas sudah mula mencatat keuntungan. Namun, bukannya Sapura.
"Apa yang Najib tidak ingin rakyat tahu adalah walaupun pengasas Sapura, Shahril Shamsuddin yang telah bersara pada tahun 2020, pernah mengambil gaji besar sebanyak RM72 juta pada tahun 2017 dan RM82 juta pada tahun 2018, namun sehingga sekarang masih banyak hala tuju pengurusan Sapura terikat dengan keputusan terdahulu (di bawah Shahril)," katanya.
Selain itu, Chean Chung turut mahu penjelasan mengenai dakwaan portal pernigaaan the edge markets.com bahawa Sapura masih membayar royalti sebanyak RM10 juta setahun kepada “pihak tertentu” atas kegunaan nama “Sapura”
Menurutnya, jika kelemahan itu diambil kira maka sangat tidak wajar dana awam digunakan untuk memberi pinjaman mudah kepada syarikat tersebut bagi menyelamatkannya.
Chean Chung juga menolak dakwaan Najib bahawa Sapura banyak menerima pelaburan dari Permodalan Nasional Berhad dan akan menjejaskan dana amanah tersebut seandainya syarikat berkenaan gulung tikar.
"Sebenarnya peratusan pelaburan PNB tidak lebih 1% daripada jumlah pelaburannya. Kegagalan Sapura tidak akan menenggelamkan pemilik unit ASB seperti yang cuba ditakut-takutkan oleh Najib.
"Selain Sapura, PNB turut melabur kepada syarikat-syarikat besar lain seperti Velesto Energy, Duopharma Biotech, MNRB Holdings dan lain-lain. Adakah kesemua syarikat ini perlu diselamatkan dengan duit rakyat atas kesalahan pengurusan?
"Apa yang Najib tidak ingin rakyat tahu adalah, jika Sapura terpaksa ditutup, akta-akta pekerja dan syarikat yang sedia ada akan melindungi pekerja dan pembekal-pembekal mereka.
"Syarikat lain yang lebih berdaya termasuk Petronas bolehlah membeli dan mengambil alih aset tersebut jika didapati bersesuaian. Mengapa Najib sibuk membela sebuah syarikat sahaja sedangkan ribuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam kesusahan?" katanya.
Tegas Chean Chung lagi, penyelamatan syarikat seperti Sapura hanya menguntungkan segelintir kecil orang dan pelobi mereka. Namun yang rugi, katanya, adalah rakyat.
Comments