Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) baru baru ini menyantuni golongan yang memerlukan bantuan di Kampung Sungai Chinchin, Batu 8, Gombak, Selangor.
Dalam majlis ringkas itu, PKORM diketuai pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa mengagihkan sumbangan berupa kotak makanan dan wang tunai kepada 11 penerima terdiri daripada asnaf, armalah dan orang kurang upaya.
Bagi Mustapa, sebahagian penerima yang juga pejuang reformasi sejak 1998 perlu dibantu dan diambil berat kehidupan mereka pada hari tua.
"Kita memang tak ada duit banyak tetapi kita ada cara untuk membantu.
"Kalau kekurangan (hadapi masalah) kita pergi (usahakan bantuan) Kebajikan Masyarakat, kita akan buat program bantuan dan sebagainya," kata beliau dalam ucapannya.
Majlis tersebut diadakan di rumah Puan Salmah, Otai Reformis yang menyertai tunjuk perasaan jalanan sejak 26 tahun lalu. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dengan kunjungan dan keprihatinan PKORM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PKORM Shaiful Annuar Sulaiman, Bendahari Rizuan Abd Rahman dan beberapa penggerak PKORM pusat.
Commenti