PKORM, PEKWES anjur iftar rai Otai Reformis, ibu tunggal
- Suara Keadilan
- Mar 14
- 2 min read

Oleh: Shaiful Anuar
Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Wargaemas Negeri Selangor (PEKWES) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) baru baru ini menganjurkan majlis iftar di Rumah Bakti, Hulu Klang, Selangor.
Majlis tersebut bagi meraikan anak yatim, ibu tunggal dan jemputan reformis untuk menerima agihan sumbangan daripada beberapa penderma.
Pengerusi PEKWES, Salmah Abdul Rasid memulakan majlis dengan ucapan terima kasih di atas kehadiran kalangan ibu tunggal dan wargaemas di sekitar daerah Gombak dan Selayang termasuk beberapa reformis lama dari luar Gombak.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua dermawan serta penyumbang perseorangan yang bekerjasama dengan NGO PEKWES.
Pengerusi PKORM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa pula dalam ucapan ringkasnya mengingatkan mengenai kebaikan dan pahala berganda sekiranya seseorang menjaga dan membantu anak yatim juga golongan armalah yang memerlukan bantuan.

"Kelebihan berganda jika ada anak-anak yatim yang tinggal bersama, beroleh pahala dan kebaikan jika mereka betul-betul menjalani kehidupan dengan penuh taqwa dan beriman," ujarnya.
Manakala Setiausaha PKORM, ShaifulAnuar Sulaiman berharap kerajaan semasa akan mengenang jasa reformis kerana mereka merupakan pejuang pembebasan rakyat daripada belenggu korupsi, kronisme dan nepotisme yang melanda negara sejak puluhan tahun lalu.
"Mereka inilah contoh tulang belakang parti KEADILAN dalam menggerakkan denyut nadi rakyat di bawah, sehinggalah kini kita telah menjadi Kerajaan," katanya.
Dalam majlis itu, tidak dilupakan dua reformis yang berumur lebih 70 tahun, Mat Yatim Warija atau dikenali dengan nama Wak Kerang dan Norzali Yatim atau Zali Otai.
Ketika ditemui, mereka datang dari Tanjong Karang kira-kira 85 km jaraknya dari Hulu Kelang dengan semangat juang yang masih tinggi mereka bermotosikal meredah cuaca tidak menentu sebagaimana berjuang di jalanan 25 tahun lalu.
Turut hadir pada petang itu bekas tenaga sukarelawan Rumah Bakti, Muhammad Basir dan seorang dermawan, Tuan Zahrul Nizam yang juga AJK PKORM. Majlis berakhir dengan penyampaian sumbangan dan berbuka puasa.
Comments