Oleh: Abdullah Zaid
Pemburuan pingat emas pertama Malaysia di sukan Olimpik sejak berdekat lalu tidak pernah menjadi kenyataan biar pun negara jiran seperti Indonesia dan negara Asia lain telah lama berjaya melakukannya.
Dalam hal ini, aktivis masyarakat, Yuslaini Azmi mencadangkan agar kerajaan mencontohi negara China yang banyak melahirkan atlet menggondol pingat emas dengan menubuhkan pusat pendidikan yang serius untuk melatih anak muda dalam sukan profesional.
Katanya, negara perlu menubuhkan universiti khas untuk menggilap bakat muda sebagaimana yang dilakukan negara 'tirai bambu' tersebut.
"Kebanyakan delegasi Olimpik China boleh dikatakan adalah hasil produk daripada universiti sukan.
"Malah, atlet mereka mengaplikasikan sains dalam kaedah latihan dengan betul. Contohnya Wang Shun, perenang Olimpik China yang juga pelajar PhD dalam bidang pendidikan fizikal di Universiti Ningbo. Malah Pan Zhanle yang memecahkan rekod dunia renang bebas acara 100 meter juga adalah hasil produk universiti sukan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Berbanding Malaysia, kata Yuslaini, negara ini masih tidak mempunyai sistem sukan seperti itu kerana latihan dan sebagainya banyak dilakukan di peringkat persatuan sukan. Persatuan pula mudah mendapat peruntukan kerajaan tanpa mengutamakan sudut pencapaian.
"Jika di China atau Jepun misalnya, tugas persatuan sukan mereka untuk mencari atlet dan mengasah bakat hingga ke peringkat dunia dan jika tidak melepasi KPI yang ditentukan persatuan sukan mereka akan dipotong daripada peruntukan kerajaan.
"Oleh sebab itulah, persatuan sukan di negara berkenaan berusaha melahirkan atlet pelapis setiap tahun kerana mereka ingin mendapatkan peruntukan daripada pihak kerajaan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, Yuslaini juga turut mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan meminda Akta Pembangunan Sukan 1997, Seksyen 26 untuk mengehadkan pengurusan tertinggi persatuan kepada lima tahun bagi mengelakkan perkara yang membabitkan 'conflict of interest'.
"Oleh yang demikian, persatuan sukan akan sentiasa ditadbir oleh muka baharu dan kita akan dapat melihat hasil kerja presiden persatuan sukan tersebut setiap lima tahun.
"Jika ahli politik mempunyai limitasi penggal, mengapa tidak pengurusan tertinggi persatuan sukan? Bukankah ini satu perkara baik yang dapat meningkatkan prestasi semua yang berminat untuk menguruskan persatuan sukan," katanya lagi.
Comments