Pindah penduduk Gaza: Trump rasis, mahu lakukan pembersihan etnik
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras kenyataan terbaru oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu "mengambil alih" Gaza dan memindahkan penduduk asalnya, rancangan yang terang-terangan merupakan pembersihan etnik dan pelanggaran mutlak undang-undang antarabangsa.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, cadangan gila dan tidak berperikemanusiaan itu mencerminkan ideologi kolonial moden yang mewajarkan penjajahan dan pengusiran kejam rakyat asal tanah terbabit.
Rakyat Amerika dan masyarakat sivil dunia diseru agar menolak ideologi kejam Trump yang menghina hak asasi manusia, tegas beliau.
"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu mengutuk cadangan ini secara rasmi sebagai satu bentuk ancaman kepada keamanan dan kestabilan global.
"Semua pemimpin dunia Islam untuk bersatu dan bertindak, bukan sekadar mengecam tetapi mendesak tindakan tegas di peringkat antarabangsa," kata beliau dalam kenyataan.
Trump dalam pertemuannya dengan PM Israel Benjamin Netanyahu di Washington pada Isnin lalu mengulangi cadangannya untuk membangunkan semula Gaza yang disifatkan sebagai "lokasi hebat" sebagai "zon kebebasan".
Laporan media antarabangsa menyebut Trump berkata "sebuah pasukan pengaman seperti Amerika Syarikat ditempatkan di wilayah itu dan memiliki Gaza adalah suatu perkara yang baik" dan sekali lagi mengusulkan agar penduduk Gaza dipindahkan ke negara lain.
Mohd Azmi menegaskan bahawa Trump tidak mempunyai mandat atau hak moral untuk mencadangkan penempatan tentera AS di wilayah Palestin kerana ia mencabul kedaulatan rakyat Palestin dan memperkukuh hegemoni imperialis Amerika di Timur Tengah.
"Kenyataan Trump itu adalah rasis, tidak berperikemanusiaan dan berunsur jenayah terhadap kemanusiaan," kata Mohd Azmi lagi.
Beliau menekankan bahawa wilayah Gaza bukan tanah kosong sebaliknya merupakan tanah air kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang hidup dalam penindasan dan sekatan kejam selama lebih 17 tahun.
"Mereka berhak mempertahankan tanah, maruah dan masa depan mereka," tegasnya.
Justeru itu, MAPIM menganggap cadangan ‘zon kebebasan’ yang disebut Trump adalah topeng kepada projek penjajahan baharu.
"Mengusir rakyat Palestin dari Gaza bukan sahaja satu bentuk pemusnahan identiti, tetapi juga satu jenayah genosid terancang," katanya.
Commentaires