![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_51e8a932ae8a4efe91a70ca7ee869491~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_440,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_51e8a932ae8a4efe91a70ca7ee869491~mv2.jpeg)
Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J Trump mahu memindahkan penduduk Gaza, Palestin ditentang oleh umat Islam sedunia.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, pemindahan penduduk Gaza ke negara Arab seperti Jordan dan Mesir merupakan tindakan pembersihan etnik yang amat tidak boleh diterima.
"Kenyataan Presiden Trump ketika sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington baru-baru ini amat tidak bertanggungjawab, di luar norma diplomasi antarabangsa, melanggar kedaulatan sebuah negara yang sah.
"Syor Presiden Trump tersebut tidak langsung mengambil kira sensitiviti, penderitaan dan jerih payah rakyat Gaza yang telah berkorban darah dan air mata demi mempertahankan tanah air mereka daripada terus dijarah dan ditakluki regim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, tindakan Trump itu tidak bermoral dan bakal mencetuskan konflik lebih besar di Gaza yang baharu sahaja melaksanakan gencatan senjata.
Tindakan itu juga dikutuk oleh negara bukan Islam yang mempersoalkan kewarasan demokrasi ala-AS.
"Saya percaya majoriti negara-negara di seluruh dunia mengutuk tindakan tidak bermoral Presiden Trump tersebut seperti yang telah disuarakan kerajaan China yang terang-terangan menolak cadangan Presiden Trump.
"Syor tersebut bukanlah formula penyelesaian konkrit, praktikal dan tuntas ke arah keamanan berkekalan di bumi Palestin dan Asia Barat yang bergelora," ujarnya.
Menurut beliau, jalan penyelesaian terbaik ialah mengiktiraf kedaulatan Palestin dengan memberikan kemerdekaan dan menghormati hak-hak sivil serta pemerintahan demokratik rakyat Gaza dan Palestin.
Oleh itu, Senator Dewan Negara itu membidas Presiden Trump kerana telah mencabul hak asasi manusia untuk mempunyai negara sendiri.
"Di manakah janji-janji manis Presiden Trump ketika kempen pilihanraya Presiden AS baru-baru ini di hadapan pemimpin dan komuniti Islam AS untuk mencari penyelesaian damai konflik Israel-Gaza.
"Presiden Trump mesti menghentikan cadangan tidak masuk akal ini, kembali menghormati hak-hak kedaulatan sesebuah negara, menghentikan sebarang keputusan unilateral dan menyerahkan urusan pentadbiran Gaza kepada rakyat mereka sendiri.
"Rakyat Gaza dan Palestin berhak untuk hidup aman, bebas, merdeka, berdaulat dan menikmati kemakmuran tanpa campurtangan kuasa-kuasa asing," katanya.
Dr Mujahid menegaskan, penindasan regim Zionis mesti segera ditamatkan dan Amerika Syarikat selaku sekutu rapat Israel bertanggungjawab menyegerakan inisiatif tersebut atas nama demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.
Comments