Pindaan Perlembagaan KEADILAN semalam yang membenarkan sistem pemilihan baharu bagi jawatan utama parti dilihat amat praktikal berbanding sistem 'satu ahli satu undi' sebelum ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, melalui sistem baharu itu peringkat cabang boleh memilih perwakilan yang berkualiti untuk mengundi melantik pemimpin dan dalam masa sama calon pemimpin juga perlu berjuang bersama sama semua cabang.
"KEADILAN Sarawak menyokong sistem pemilihan baru tersebut kerana sistem itu lebih praktikal dan lebih terangkum.
"Setiap calon pimpinan pusat mesti menumpukan perhatian dan mengharapkan sokongan daripada semua 222 Cabang KEADILAN seluruh negara (berbanding sistem lama)," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Roland menyokong sistem lama dikekalkan bagi memilih pemimpin di peringkat cabang.
Katanya, bagi pemilihan pimpinan pusat seperti presiden, timbalan presiden, naib presiden dan 20 orang ahli Majlis Pimpinan Pusat seharusnya dilakukan oleh perwakilan yang aktif dalam parti dan lebih mengenali calon pemimpin.
Selain itu, menurut beliau, sistem baharu juga memberi kelebihan kuota gender dan etnik yang akan meningkatkan imej parti dalam kalangan berbilang kaum di negara ini.
"Sebagai parti politik bersifat nasional, sistem pemilihan baru mempersiapkan parti dan pemimpin untuk memperluaskan jangkauan perjuangan mereka bersama kesemua 222 Cabang KEADILAN seluruh negara.
"Selebihnya, KEADILAN Sarawak berharap agar kos logistik untuk pergerakan perwakilan (bagi mengundi) perlu dikurangkan. Sistem pemilihan secara digital perlu ditambah-baik untuk kesahihan keputusan dam keselesaan perwakilan nanti," katanya lagi.
Comments