Usul Pindaan Perlembagaan Fasal 17.2, 17.2A dan 17.2B yang telah diluluskan bertepatan dengan hasrat Wanita KEADILAN untuk meningkatkan aktivisme politik dan penglibatan aktif wanita dalam aktiviti sosial kemasyarakatan.
Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata, usaha untuk memberdaya wanita dalam semua aspek termasuk daya kepimpinan perlu terus dipertingkatkan.
"Menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), wanita mewakili lebih 50 peratus pemilih yang berdaftar.
"Suara wanita adalah penentu penting kepada hala tuju negara. Justeru, adalah penting untuk KEADILAN terus mengasah bakat serta daya kepimpinan wanita dan memberi mereka sepenuh perhatian.
"Bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita sebagai pemimpin politik dan calon dalam PRU yang akan datang, Wanita KEADILAN giat menganjurkan pelbagai program pengkaderan dan pembangunan potensi di semua peringkat.
"Inisiatif pemberdayaan wanita juga akan terus dipertingkatkan. Wanita KEADILAN beriltizam untuk terus mengangkat agenda mengarusperdanakan gender, mengiktiraf penyertaan aktif wanita dalam politik dan pada masa sama mengekang amalan patriarki dan ideologi hegemoni maskuliniti," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, KEADILAN mengadakan Kongres Nasional Khas bertempat di Dewan Raja Muda Musa, di Shah Alam, Selangor yang turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata pihaknya menyambut baik usul pindaan berkenaan yang telah diluluskan dalam kongres itu.
"Ia adalah cerminan komitmen berterusan parti untuk meningkatkan partisipasi politik serta memastikan inklusiviti merentasi batasan gender dan etnik. Usul ini dapat menyuburkan amalan demokrasi dan memastikan reformasi dalam pemilihan parti.
"Partisipasi wanita di peringkat tertinggi parti dapat ditingkatkan menerusi usul pemilihan Perwakilan Biasa Cabang dan Perwakilan Tambahan yang inklusif.
"Ia akan mengambil kira kuota gender dan etnik minoriti seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berdasarkan demografi di kawasan parlimen," ujarnya.
Commenti