Pindaan perlembagaan KEADILAN yang lulus hari ini bertujuan untuk menguatkan parti berdasarkan kepelbagaian latar belakang anggota parti.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh berkata, pindaan tersebut amat progresif dan mampu memastikan parti bergerak di landasan yang lebih demokratik.
Biarpun sistem 'satu ahli satu undi' sebelum ini telah berjalan dengan agak baik, namun kata Fuziah, selepas pindaan ini sistem berkenaan hanya akan diamalkan bagi pemilihan di peringkat cabang dan ranting.
Manakala di peringkat hierarki yang lebih tinggi, katanya, anggota mungkin tidak begitu mengenal pemimpin dan akhirnya mereka terdedah kepada sistem cai yang tidak menguntungkan pada jangka panjang.
"Kita lihat sistem itu (satu ahli satu undi) mungkin ada sikit kebimbangan apabila ada anggota cabang tidak berapa kenal pemimpin pusat yang akan dipilih.
"Maka berbulan Majlis Pimpinan Pusat berbahas tentang perkara ini, berkali kali mesyuarat dan akhirnya kita membuat satu formula di mana kita melantik perwakilan untuk memilih pimpinan pusat.
"Formula yang kita letak dalam 30 peratus daripada anggota kita. 30 peratus ini adalah anggota aktif. Kalau anggota sejuta maka 300,000 itu dianggap aktif. Dari 300,000 itu berapa yang betul betul hardcore?
"Hardcore hanya 10 peratus daripada itu, iaitu 30,000. Maksudnya mereka ini yang sentiasa ke kongres, aktif di cabang, pergi (gerak kerja) pilihanraya dan sebagainya. Jadi jumlah itu dianggap munasabah untuk diletakkan sebagai perwakilan," ujar Fuziah pada Majlis Peluncuran Kad Ahli Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia di Shah Alam, petang tadi.
Oleh itu, kata beliau, pindaan perlembagaan meluluskan hampir sebulat suara usul meminda Fasal 17 yang akan memperuntukkan jumlah perwakilan yang boleh mengundi.
Selepas ini, katanya, semua Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Cabang yang dipilih layak ke kongres sebagai perwakilan, AJK Wanita Cabang layak sebagai perwakilan dan AJK Angkatan Muda Keadilan Cabang juga secara automatik jadi perwakilan.
"Itu menjadikan 46 anggota di cabang layak ke kongres sebagai perwakilan (fizikal). Itu tak cukup, kita tambah lagi 40 perwakilan. Jadi 46 boleh ke kongres secara fizikal, kemudian 40 lagi dipilih untuk mengundi atas talian.
"Jumlah 46 berkenaan (untuk 222 cabang bersamaan) 10,000 perwakilan yang akan kita urus. Kemudian 40 lagi ditambah jadi 86 (untuk setiap cabang).
"Kemudian kalau ada cabang yang ramai anggota maka kita beri tambahan kuota perwakilan. 3,000 anggota hingga 4,000 tambah 10 orang. 4,000 hingga 5,000 tambah 10 lagi. Sehingga jumlah maksimum satu cabang boleh mencecah 156 perwakilan. Inilah hardcore yang turun padang, maka mereka layak pilih pimpinan atasan," katanya.
Selain itu satu lagi usul, kata Fuziah, berkenaan mekanisme pelaksanaan kuota gender dan kuota kaum.
Katanya, KEADILAN misalnya mempunyai pelbagai kaum namun kaum minioriti biasanya kurang mempunyai perwakilan untuk mengundi.
Selepas pindaan, kata beliau, peraturan membenarkan peringkat cabang memilih perwakilan berdasarkan kuota etnik untuk menghadiri Kongres Nasional.
"Pindaan perlembagaan ini memperuntukkan supaya perwakilan itu diambil kira kuota gender dan kuota kaum.
"Kita berpandukan pecahan demografi pilihanraya. Kalau kawasan itu ada orang Siam maka perwakilan itu kena ada orang Siam. Jangan satu kaum dalam AJK Cabang (sebagaimana hari ini)," katanya lagi.
Comments