
Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian akan diwartakan dalam tempoh terdekat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzi berkata, ia susulan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sudah memperkenankan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu ancaman dan keselamatan siber itu.
"Saya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah perkenan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian.
"Selepas ia diwartakan, insya-Allah kita akan berupaya untuk menangani beberapa masalah termasuk pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga masalah berkaitan," katanya dipetik.
Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan memaklumkan perkembangan itu pada Majlis Pelancaran ChatBot Sebenarnya.my di Cyberjaya pada Selasa.
Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 Disember lalu.
RUU itu antara lain turut menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Disember tahun lalu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Comments