Oleh: Akmal Manaf
Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 semalam menyaksikan kerajaan mengiktiraf satira dan parodi adalah satu bentuk penyampaian kritikan atau ulasan sah dan bukan jenayah yang perlu dihukum, kata Syahredzan Johan.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata, jika pindaan tersebut diluluskan, satira dan parodi dalam seni dan sastera di negara ini akan lebih dilindungi.
Dalam hari-hari yang mendatang, katanya, RUU akan hebat diperkatakan dan dibincangkan massa, malah akan ada pihak yang bersetuju dan membantah.
''RUU ini meliputi pelbagai aspek dalam Akta 588. Saya tidak bercadang untuk mengulas RUU ini secara menyeluruh.
''Namun demikian, saya ingin merujuk kepada Fasal 91 RUU tersebut, iaitu cadangan pindaan kepada Seksyen 233. Dalam RUU, akan dimasukkan 'Huraian' bagi memperjelaskan elemen-elemen seperti lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya.
''Huraian 4 bagi Fasal tersebut menyatakan bahawa kandungan berbentuk satira atau parodi atau dalam keadaan yang jelas bahawa ia ialah fiksyen, adalah tidak palsu,'' katanya dalam kenyataan.
Syahredzan yang juga seorang peguam turut mengimbau kembali kes aktivis Fahmi Reza pada 2016 yang disabitkan bersalah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana hantaran berbentuk parodi.
''Maknanya, sekiranya RUU ini diluluskan, hantaran berbentuk satira dan parodi, seperti yang dihantar oleh Fahmi Reza 8 tahun lepas, tidak akan terangkum dalam elemen 'palsu' yang menjadi elemen kesalahan dalam Seksyen 233.
''Kandungan yang ‘jelas’ merupakan fiksyen, juga tidak memenuhi elemen ‘palsu’. Ada banyak lagi huraian-huraian yang dicadangkan bagi memperjelaskan elemen-elemen Seksyen 233.
''Di samping itu, elemen jelik kita mempunyai ambang yang lebih tinggi untuk menjadi jenayah, bukan setakat 'jelik' sahaja tetapi jelik yang 'melampau,'' jelas beliau.
Beliau berharap dengan pindaan berkenaan undang undang peninggalan kerajaan terdahulu akan lebih memenuhi keperluan semasa dan tidak bersifat regresif terutama ke atas pembangkang atau pengkritik kerajaan.
Commentaires