Oleh: Akmal Manaf
Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 atau Akta 505 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, meliputi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi Mahkamah Syariah serta perkara yang berkaitan dengannya.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Akta 505 turut memperuntukkan tentang peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan; Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
''Walaupun Akta 505 telah dipinda beberapa kali, namun terdapat beberapa peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras dengan perkembangan semasa bagi memperkemaskan tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
''Selain itu, langkah melaksanakan pindaan ini dilihat sebagai inisiatif yang perlu dibuat untuk memastikan tadbir urus dan operasi agensi-agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar.
''Kertas Cadangan RUU Pentadbiran telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Khas Bilangan 1/2024 pada 15 Januari 2024 dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Mac lalu.'' katanya di Dewan Rakyat.
Dr Zulkifli memberitahu dewan, antara cadangan penambahbaikan mengenai Majllis yang dibuat dalam RUU Pentadbiran itu adalah penyusunan semula keanggotaan Majlis dan penambahbaikan operasi pentadbiran dan kewangan Majlis.
Beliau memberi contoh di bawah seksyen 71 Akta 505 iaitu dengan memotong kehendak supaya pembayaran oleh Majlis bagi apa-apa amaun yang melebihi lima puluh ringgit dibuat melalui cek.
''Kehendak sedemikian tidak lagi praktikal dibuat pada masa ini kerana ia akan melambatkan proses penyaluran bantuan kecemasan kepada asnaf.
''Selain itu, memasukkan kuasa Majlis untuk melantik pegawai dan pekhidmat Majlis bagi membantu menjalankan tugas-tugas Majlis, kuasa tentang pelaksanaan hal ehwal wakaf dan kuasa untuk menubuhkan dan menguruskan rumah kebajikan, tempat perlindungan dan pusat pemulihan
''Mengenai Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pula, antara cadangan pindaan adalah memasukkan peruntukan yang membolehkan prosiding pendengaran kes mal dijalankan di mana-mana tempat lain selain mahkamah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 40 Akta 505 atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh,'' ujarnya lagi.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Zulkifli turut menerangkan tentang cadangan pindaan mengenai Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.
Cadangan itu katanya adalah seperti, memasukkan peruntukan mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dan memperuntukkan timbalan itu mempunyai segala kuasa Pendakwa Syarie dan hendaklah bertindak sebagai Ketua Pendakwa Syarie ketika ketiadaan atau ketidakupayaan Ketua Pendakwa Syarie.
''Ketiadaan peruntukan ini menyebabkan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie tidak dapat menjalankan kuasa Ketua Pendakwa Syarie semasa ketiadaannya sehingga menyebabkan berlaku lambakan kes jenayah Syariah, selain izin mendakwa dan izin merayu terhadap pembebasan tidak dapat diberikan. Selain itu, siasatan kes jenayah juga tidak dapat dimulakan.
''Pindaan Akta 505 ini juga mengandungi 39 Fasal seperti Fasal 1 dan 2 yang memperuntukkan tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa serta tafsiran perkataan tertentu yang digunakan dalam RUU tersebut.
''Fasal 3 pula bertujuan untuk meminda Seksyen 7 Akta 505. Subfasal 3(b) bertujuan untuk meminda perenggan 7(2)(e) Akta 505 untuk memberi Majlis kuasa untuk menubuhkan apa-apa skim bagi pemberian pinjaman daripada Baitulmal kepada individu beragama Islam bagi maksud mengikuti pendidikan tinggi.
''Walau bagaimanapun, pemberian pinjaman tersebut tidak boleh diambil daripada wang zakat. Subfasal 3(d) bertujuan untuk memasukkan perenggan baharu 7(2)(fa) ke dalam Akta 505 untuk memberi Majlis kuasa untuk menubuhkan, menyenggarakan dan menguruskan rumah kebajikan, tempat perlindungan dan pusat pemulihan,'' katanya lagi.
Fasal 5, 6 dan 7 pula katanya adalah bertujuan untuk meminda subseksyen 10(1), seksyen 12 dan subseksyen 14(1) untuk menstruktur semula keanggotaan Majlis, memperuntukkan perkara yang boleh menyebabkan pelantikan anggota Majlis dibatalkan dan pelantikan Setiausaha Majlis.
Beliau berkata Fasal 9 adalah untuk memasukkan seksyen baharu 27A ke dalam Akta 505 untuk memberi Majlis kuasa untuk melantik atau mengambil kerja apa-apa bilangan pegawai dan pekhidmat untuk membantunya menjalankan fungsi-fungsinya.
Manakala menurut Dr Zulkifli, Fasal 10 bertujuan untuk memotong Bahagian III Akta 505 berbangkit daripada pengenalan Akta Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang dicadangkan.
Comments