![Perhimpunan aman selepas ini tidak lagi memerlukan persetujuan pemilik tapak himpunan. Gambar arkib](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_5f1e170193994a6eaedfdad865e037b6~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_440,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_5f1e170193994a6eaedfdad865e037b6~mv2.jpeg)
Pengumuman Kerajaan Madani untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) terkait keperluan mendapatkan persetujuan pemilik premis seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11 Akta 736 sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi adalah langkah tepat ke arah memperkasakan kebebasan bersuara dan hak berhimpun.
Menurut Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Naim Rafidi, pindaan Akta Perhimpunan Aman itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan hak berhimpun secara aman dihormati dan dipermudah selaras dengan prinsip demokrasi serta keluhuran Perlembagaan.
"AMK Selangor menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012.
![Khairul Naim Rafidi](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_0685d9b6091f42e8a27aaf9dded05ac5~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_474,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_0685d9b6091f42e8a27aaf9dded05ac5~mv2.jpeg)
"Justeru (selepas ini) penganjur hanya perlu memaklumkan pihak polis lima hari sebelum perhimpunan berlangsung, dan menjadikan proses lebih telus serta bebas daripada halangan birokrasi yang tidak wajar," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, ujar Khairul, AMK Selangor turut memuji keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan terhadap mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan anti-rasuah serta ahli keluarga tahanan Sosma yang berhimpun baru-baru ini.
"Ini membuktikan kerajaan benar-benar mendengar suara rakyat dan komited dalam mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka serta menghormati hak-hak Perlembagaan.
"Pendekatan Kerajaan Perpaduan yang menekankan kebijaksanaan dalam penggubalan dasar dan keseimbangan antara kebebasan serta ketenteraman awam ini adalah bukti bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sistem demokrasi yang lebih matang," jelasnya.
Tegas beliau, dengan pemansuhan syarat yang tidak menyukarkan penganjuran perhimpunan dan jaminan bahawa himpunan aman tidak akan disekat secara sewenang-wenangnya, rakyat kini boleh bersuara dengan lebih yakin tanpa rasa takut terhadap tekanan atau intimidasi.
Sehubungan itu, AMK Selangor menyeru kepada semua pihak untuk menerima reformasi tersebut sebagai satu langkah besar ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.
"Penganjur perhimpunan (dalam pada itu) digesa untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan, menjaga disiplin serta memastikan setiap perhimpunan berlangsung secara aman dan bertanggungjawab.
"Kerajaan Perpaduan telah membuktikan bahawa ia bukan sekadar bercakap soal reformasi tetapi melaksanakannya dengan tindakan nyata.
"AMK Selangor berdiri teguh bersama kerajaan dalam memastikan hak-hak rakyat terus diperkasa, sistem demokrasi terus diperbaiki, dan Malaysia terus melangkah maju sebagai sebuah negara yang benar-benar menghormati suara rakyatnya," katanya lagi.
Bagi Khairul, reformasi yang dilaksanakan bukan sekadar memenuhi tuntutan politik tetapi juga membawa Malaysia lebih dekat kepada konsep Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur, iaitu sebuah negara yang makmur di bawah naungan Tuhan Yang Maha Pengampun.
ความคิดเห็น