
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dibangunkan atas semangat reformasi yang mendambakan perubahan dan penambahbaikan merangkumi demokrasi, tatakelola, keadilan sosial dan ekonomi bersifat manusiawi.
Bagi Ahli Dewan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, selepas lebih 25 tahun bergelut dalam kepayahan dan berkat dukungan rakyat pelbagai lapisan parti itu yang menjadi peneraju kerajaan di Putrajaya memerlukan pemimpin yang berwawasan, muda dan bertenaga dalam memimpin pada dekad berikutnya.
"Hari ini KEADILAN kekal menjadi wadah politik utama rakyat Malaysia dan merupakan parti yang mencatatkan perkembangan memberangsangkan dari segi pertambahan keanggotaan.
"Kemunculan tokoh-tokoh pimpinan muda dalam KEADILAN yang kini diketengahkan di persada politik kebangsaan, telah berjaya menambat keyakinan rakyat terhadap parti ini sebagai sebuah parti masa hadapan.
"Manakala pentas pemilihan parti (KEADILAN) pada kali ini perlu dilandaskan dengan semangat perpaduan, keterbukaan dan nilai hormat, dan ia sewajarnya dimanfaatkan sebagai ruang oleh anggota untuk memilih barisan kepimpinan yang efektif, berdaya saing serta berupaya mempertahan kepentingan dan menjamin kelangsungan parti," kata Najwan dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor turut menyentuh sesi pemilihan Cabang KEADILAN yang akan berlangsung pada 20 April depan yang seharusnya digunakan oleh anggota untuk mengisi barisan pelapis kepimpinan.
"Setelah menekuni pelbagai pandangan dan saranan melibatkan pimpinan dan anggota akar umbi parti, maka dengan penuh tawaduk, saya menawarkan kepimpinan dan komitmen sebagai calon Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
"Saya percaya, dengan sokongan dan dukungan anggota cabang, KEADILAN Shah Alam akan bangkit sebagai satu ketumbukan yang lebih kuat, efektif dan berwibawa terutamanya dalam mengharungi percaturan politik nasional yang semakin mencabar mutakhir ini," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Cabang KEADILAN Shah Alam diterajui oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang menang dalam Pemilihan KEADILAN 2022 lalu.
Comments