Pemilihan bagi jawatan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat dibayangkan bakal dilaksanakan dalam tempoh segera.
Presiden KEADILAN dalam ucapannya di Konvensyen KEADILAN Perak di Kinta Riverfront Hotel & Suites, Ipoh, hari ini berkata pemilihan itu perlu disegerakan kerana pilihan raya umum ke 16 masih jauh dan terdapat keperluan diadakan sinergi antara pemimpin muda serta lama untuk memperkuatkan parti.
"Semalam kita mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan (Pusat). Kita bincang hala tuju parti. Keputusan kita, hubungan dengan UMNO-BN di Semenanjung harus diteruskan dan perlu lebih akrab lagi...
"Kedua urusan dalaman parti. Ada masa parti harus membina generasi. Di kalangan Angkatan Muda (KEADILAN), Wanita (KEADILAN) harus diberi ruang.
"Jadi kita lihat menyegerakan pemilihan parti (satu keperluan) tetapi tidak dengan cara dahulu yang hiruk pikuk, kacau bilau. kena ikut peraturan yang lebih teliti.
"Keputusannya kita harus segerakan. Saya tidak setuju ditangguh kerana pilihanraya lambat lagi," katanya.
Sebelum itu dalam ucapan sama, Anwar membidas pembangkang yang 'memandai mandai' menetapkan tahap T15 yang diperkatakan dalam Belanjawan 2025 sebagai golongan yang mempunyai pendapatan lingkungan RM12,000 sebulan.
Katanya, jumlah pendapatan T15 belum diperincikan dan masih boleh diubah penarafan berkenaan.
"Pembangkang pertahan T15, sedangan kelompok itu pendapatan dia (mungkin dalam lingkungan) RM100,000 sebulan, tak kan nak pertahan.
"Kalau pendapatan rendah kita pertimbangkan, tidak bebankan rakyat.
"Kita (kelompok diberi subsidi) mewakili 85% yang tidak terkesan kenaikan (petrol)," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri juga menyatakan kekesalan beliau terhadap strategi pembangkang yang membodohkan pemikiran rakyat dengan memainkan isu perkauman dan hal remeh temeh biar pun dalam mengkritik Belanjawan 2025 yang sepatutnya diberi nafas ekonomi atau kewangan yang lebih matang.
"Kalau kita berdebat dalam keadaan sama sama jahil, yang ditanam adalah kebencian. Cuba tanya dia, (kita) sebut Konfusius bila ceramah pembangkang, tengok Anwar dia samakan Islam dengan Konfusius.
"Cuba tanya dia, kamu dah baca Konfusius, di mana ajaran dia yang bertentangan kamu? Dia akan jawab tak tahu... Jadi didebat atas nama kejahilan, dan yang angguk itu pun jahil.
"Sebab itu jangan kita dialog atas kejahilan. Kerana dangkal ilmunya, cetek, maka tak tahu nak bahas ucapan belanjawan," kata Anwar lagi.
Dalam ucapan sama juga Anwar menekankan prinsip utama KEADILAN adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya perlumbaan mengejar jawatan.
Katanya, KEADILAN bukan parti mencari rezeki dan parti itu sejak hari pertama ditubuhkan tertegak di atas prinsip membela rakyat terbanyak maka dasar itu akan terus dipertahankan.
*Foto kredit: FB Datuk Azman Abidin
Comentarios