Kerajaan mengingatkan pihak yang tidak layak menerima subsidi diesel bersasar agar tidak cuba menaikkan harga perkhidmatan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, terdapat sektor yang tidak layak mendapat subsidi tetapi telah mengumumkan untuk menaikkan harga.
Katanya, kerajaan akan bersikap tegas ke atas mereka.
"Peringatan kepada sektor yang tidak layak menerima subsidi diesel tetapi cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.
"Kita telah meneliti kenyataan Menteri KPDN mengenai sektor pembinaan yang rata rata orang ramai termasuk netizen memuat naik pemakluman di mana mereka (syarikat) berkata, beberapa perkara atau perkhidmatan yang mereka sediakan akan mengalami kenaikan kos atas alasan mereka tidak lagi menerima subsidi diesel.
"Mereka memang tidak layak terima. Jadi kita serah kepada KPDN untuk mengambil tindakan yang tegas," katanya.
Beliau juga berkata, Kabinet memberi peringatan tidak ada mana mana pihak dibenar mengambil kesempatan menaikkan harga terutama dalam sektor makanan, minuman, keperluan harian dan sektor yang sebelum ini memang tidak menerima subsidi.
Dalam pada itu, Fahmi juga memberi amaran kepada pengguna media sosial jangan terlalu emosi dalam membincangkan isu penyasaran diesel bersubsidi.
Katanya terdapat aduan netizen yang diugut oleh pihak tidak bertanggungjawab akan merosakkan kenderaan beliau kerana mempertahankan polisi subsidi bersasar kerajaan.
"Sikap netizen beremosi memberikan pandangan dalam media sosial. Ada beberapa pihak membuat aduan, saya terima makluman beliau telah diugut kerana mempertahankaan dasar kerajaan melaksanakan program penyasaran subsidi diesel.
"Tidak ada halangan dalam menyampaikan pandangan, cuma jangan keterlaluan," katanya.
Fahmi mengingatkan perdebatan dilakukan dengan cara sihat dan tidak melibatkan ugutan jenayah.
Kommentarer