
Pihak pembangkang yang terus menerus memainkan isu perkauman bagi mengkucar kacirkan negara dan rakyat merupakan pihak 'desperado' atau terdesak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen DAP Ke-18 di Shah Alam, hari ini.
Menurut Anwar, pendekatan gemar memainkan sentimen perkauman terutama menyerang DAP, berbanding membahaskan dasar kerajaan amat merugikan rakyat kerana pembangkang gagal memainkan peranan semak imbang yang menjadi tugas utama mereka.
"Tiada skandal membabitkan pimpinan negara… rasuah atau salah guna kuasa, yang ada ialah memperalatkan isu kaum (kononnya) kerajaan lemah kerana tunduk kepada kuasa parti, khususnya DAP.
"Apakah mereka tidak kenal DAP? Mereka kenal. Dalam Pakatan Rakyat dulu hampir 15 tahun Pas bersama DAP.
"Semasa PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang Bersatu pun pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
"Apakah luahan mereka itu (adalah) kenyataan benar? Tidak. Luahannya adalah golongan ‘desprate’ (terdesak), ini yang dikatakan ‘desperado’ dalam politik.
"Tiada kritikan dasar (atau) pandangan baharu, tetapi bawa gendang lama (mahu) menakutkan masyarakat Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula dalam ucapannya menegaskan parti itu tetap setia meneruskan perjuangan bersama Pakatan Harapan serta komponennya.
Katanya kesetiaan DAP telah dibuktikan sejak era Tan Sri Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung parti dan telah sama sama berjuang dalam gerakan reformasi seawal 1998.
Menurut Guan Eng, DAP seharusnya berbangga perjuangan panjang selama dua dekad akhirnya telah berjaya menempatkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke 10 dan melakukan pelbagai reformasi petadbiran di Malaysia.
Comments