Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calonnya bagi membawa misi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada minggu depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH berkata beliau telah meminta Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli memilih tarikh sesuai bagi mengumumkan nama calon yang akan bertanding nanti.
"Kita telah ada senarai, kita ambil calon yang layak, ramai yang layak dah insya-Allah, kita umum minggu depan.
"Tarikh, saya minta Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli umum tarikh yang sesuai minggu depan tetapi prosesnya (pemilihan calon) kita bincang, pimpinan parti sudah, kepimpinan PH dan BN, dan kita maklum dalam (mesyuarat) Kerajaan Perpaduan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang hari ini.
Anwar turut mengesahkan bahawa calon tersebut dicadangkan daripada KEADILAN namun keputusan muktamad akan dilakukan dalam mesyuarat parti-parti kerajaan perpaduan nanti.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).
Kempen PRK itu akan berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
PRK Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Comentarios