Pakatan Harapan (PH) tidak bernasib baik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap apabila calonnya Cikgu Joohari Ariffin hanya mendapat 10,222 undi berbanding calon PN, Abidin Ismail meraih 14,489 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim di Dewan Serbaguna Jawi malam ini.
Menanggapi kekalahan itu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang ditemui berkata keputusan di luar jangka itu berlaku akibat kekurangan peratusan pengundi Cina dan India yang keluar membuang undi.
Katanya, calon PH telah melakukan tugas yang baik dalam berkempen namun isu nasional lebih mendominasi kempen di Sungai Bakap.
"Tiada kena mengena dengan (masalah) calon. Ini isu negara, subsidi, inflasi yang dilihat, kos sara hidup, beban yang terpaksa dihadapi rakyat.
"Mungkin kita (PH) kehilangan naratif. Walaupun semua usaha dilakukan tetapi naratif ini tidak menghasilkan keputusan (yang kita mahu)," katanya dipetik.
Manakala Pengarah Bersama PRK DUN Sungai Bakap, Rafizi Ramli dalam catatan di X mengesahkan peningkatan undi Melayu dan kurangnya undi bukan Melayu sebagai sebab utama kekalahan dalam jumlah yang besar.
"Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).
"Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar," katanya.
Comments