Berbekalkan prestasi Kerajaan Negeri Selangor yang membanggakan pada waktu menghadapi Covid 19 dan kenaikan harga barang keperluan harian, Pakatan Harapan (PH) Selangor bertekad untuk menawan 2 kerusi parlimen yang belum berjaya ditembusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan muka lama dan baharu yang dipilih sebagai calon serta kerjasama daripada parti MUDA diharap menjadikan barisan calon PH kali ini antara yang paling mantap dan digemari rakyat Selangor
"Hari ini secara rasminya kita telah umumkan kesemua calon calon PH bagi keseluruhan kerusi parlimen Selangor dan sebahagian daripadanya pernah diumumkan oleh parti masing masing. Hari ini kita muktamatkan semua pencalonan wakil kita.
"Kita percaya gabungan baru, lama dan berpengalaman serta mempunyai keupayaan akan mampu mengekalkan pencapaian PRU 2018, di samping merampas 2 kerusi parlimen yang belum berjaya kita menangi iaitu Sabak Bernam dan Sungai Besar dalam PRU kali ini.
"Berbanding dengan persepakatan lain yang masih lagi ada huru hara di sana sini, kita percaya kita telah memuktamadkan awal. Kita juga mengalu alukan kesepakatan kita dengan MUDA dan parti ini akan menambah nilai sokongan generasi muda di negeri ini," katanya dalam majlis Memperkenalkan Calon-calon PH di Dewan Raja Muda Musa, Kompeks Belia & Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.
ADUN Sungai Tua itu turut gembira dengan jentera KEADILAN yang padu di negeri itu. Katanya kegoyahan akibat Langkah Sheraton yang berlaku pada 3 tahun lalu tidak lagi menjadi faktor atau memberi sebarang kesan di peringkat akar umbi.
"Dengan pencapaian dan rekod kita di Selangor saya percaya ia akan memberikan kelebihan kepada PH untuk kita menangi kerusi yang kita menangi.
"Kita juga yakin majoriti anggota bersama kita, dan selepas Langkah Sheraton tidak ada satu cabang pun yang lumpuh di Selangor. Jadi saya percaya kita ada sokongan yang kukuh dan jentera yang efektif," katanya.
Mengenai terdapat semakan bagi kerusi parlimen Sungai Buloh selepas Umno menurunkan calon popular dalam kalangan pengundi Melayu, Datuk Seri Khairy Jamaluddin di kawasan itu, Amirudin berkata, keputusan akhir akan dibuat dalam rundingan antara Pengarah Pilihanraya Rafizi Ramli dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu keputusan akhir antara beliau dan presiden tetapi setakat ini kita teruskan (dengan calon ditetapkan)," katanya.
Berikut senarai 22 calon HARAPAN di Selangor:
Sabak Bernam – Shamsul Maarif Ismail Sungai Besar – Saipolyazan Mat Yusop Hulu Selangor – Dr Sathia Prakash Nadarajan Tanjong Karang – Siti Rahaya Baharin Kuala Selangor – Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad Selayang – William Leong Gombak – Datuk Seri Amirudin Shari Ampang – Rodziah Ismail Pandan – Rafizi Ramli Hulu Langat – Mohd Sany Hamzan Bangi – Syahredzan Johan Puchong – Yeo Bee Yin Subang – Wong Chen Petaling Jaya – Lee Chean Chung Damansara – Gobind Singh Deo Sungai Buloh – Datuk R. Ramanan Shah Alam – Azli Yusof Kapar – Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid Klang – V. Ganabatirau Kota Raja – Mohamad Sabu Kuala Langat – G. Manivanan Sepang – Aiman Athirah
Comments