
Pakatan Harapan (PH) Sabah membentuk gabungan dengan Kerajaan Negeri yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kepentingan perpaduan politik dan kestabilan negeri, demikian menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin.
Beliau berkata KEADILAN lebih berminat untuk bersama-sama membangunkan negeri tersebut dan mengelakkan ketidakstabilan politik.
"Kami membentuk gabungan dengan GRS kerana kami lebih berminat untuk bersama-sama membangunkan negeri ini daripada mengambil langkah yang mengganggu kestabilan politik dan menghalang usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19," katanya yang dipetik The Star hari ini.
Razeef berkata Warisan yang mahu bertanding secara solo tidak berhak untuk "menuding jari" kepada PH Sabah kerana menyokong kerajaan negeri yang diterajui GRS.
Jelasnya, hal itu kerana kerana Warisan dan Barisan Nasional Sabah pernah cuba menggulingkan kerajaan negeri Sabah dalam rampasan kuasa politik pada Januari 2023 yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai “Langkah Kinabalu”.
Razeef menegaskan bahawa Warisan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum 2022 tetapi ia hanya berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen di Sabah.
"Dalam PRU-15, Warisan dengan angkuh menyatakan bahawa mereka boleh menang lebih banyak kerusi tanpa Pakatan kerana, bagi mereka, Pakatan menumpang kekuatan Warisan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
"Warisan jelas ditolak apabila hanya menang tiga kerusi dan kehilangan lima kerusi mereka sendiri, termasuk yang disandang oleh Ketua Penerangan mereka, Azis Jamman, serta Timbalan Presiden mereka, Datuk Darell Leiking," ujarnya.
Razeef turut menyatakan bahawa pendirian Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga sangat jelas apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu akan bertanding secara solo menentang Pakatan Harapan.
Sebelum ini laporan menyebut Pengerusi KEADILAN Sabah Datuk Mustapa Sakmud berkata, berdasarkan landskap politik semasa parti-parti yang bertanding secara solo dalam pilihan raya Sabah akan datang berdepan risiko
"Dalam keadaan politik sekarang, bertanding secara bersendirian adalah langkah yang berisiko. Kami mempunyai pendekatan sendiri dan akan terus berusaha ke arah membentuk barisan yang kuat dan bersatu," katanya pada Ahad lalu.
Mustapha berkata KEADILAN komited untuk menyelesaikan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan yang masih sedang berlangsung.
"Keutamaan kami adalah mengekalkan kerajaan perpaduan. Konflik dalaman di peringkat negeri tidak boleh menjejaskan pentadbiran di peringkat Persekutuan yang dipimpin oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Comments