Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan BN-Perikatan Nasional telah menandatangani ikrar peringkat awal untuk satu kerjasama bagi memperbaiki perjalanan politik dan pentadbiran negara demi memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera, ekonomi dipulihkan dan negara menang dalam perang melawan Covid 19.
Satu dokumen ikrar dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PM) petang tadi yang memaparkan serba ringkas butir-butir yang dibincangkan dalam pertemuan antara PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pemimpin tertinggi komponen PH.
"Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid 19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
"Persetujuan bersama dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
"Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia," kata ikrar bersama tersebut.
Dokumen ikrar itu diharap akan menjadi pemacu kerjasama bi-partisan yang lebih jelas antara kedua-dua pihak selepas ini, terutama dalam isu Covid 19 dan pemulihan ekonomi negara.
Comments