![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_f453336e00b3491ca940e928995d2024~mv2.jpeg/v1/fill/w_675,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_f453336e00b3491ca940e928995d2024~mv2.jpeg)
Pakatan Harapan (PH) dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah menjelang pilihanraya akan datang.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipetik laporan media berkata, biarpun PH-BN di posisi pembangkang dalam pentadbiran negeri itu namun pihaknya komitmen menawarkan khidmat terbaik untuk rakyat Kedah.
"Baru-baru ini, kami berbincang mengenai bagaimana kami di Kedah boleh memposisikan diri kami sebagai pembangkang yang boleh dipercayai dan efektif.
"Kerana di Kedah ini PH dan BN adalah pembangkang, manakala Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan tapi pada masa sama kami mempersiapkan diri untuk menjadi 'goverment in waiting," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Prospek dan Keluarga Sempena Sambutan Hari Thaipusam di Penjara Sungai Petani pada Selasa.
Saifuddin sementara itu memaklumkan, Konvensyen Kerajaan Perpaduan Kedah bakal dianjurkan di Sungai Petani pada Sabtu dengan jangkaan kehadiran 1,000 ahli kedua-dua gabungan itu.
Antara lain konvensyen itu akan membincangkan hala tuju gabungan itu dan strategi untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jan tahun lalu menyarankan agar Kerajaan Perpaduan di setiap negeri mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu.
Comments