Oleh: Abdullah Zaid
Syarikat petroleum milik kerajaan, Petronas disarankan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan mendapatkan peluang pekerja di stesen-stesen minyak syarikat berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, jawatan juruwang antaranya boleh diisi rakyat tempatan selain memberi peluang kepada golongan belia dalam dunia pekerjaan baharu.
"Tidak ada alasan mengapa masih ramai pekerja warga asing yang bekerja di stesen minyak Petronas dan Kedai Mesra Petronas, sedangkan jawatan-jawatan ini boleh diisi oleh rakyat tempatan terutamanya golongan belia.
"Petronas perlu memberi pencerahan tentang peratusan pekerja tempatan berbanding warga asing di lebih 1,000 stesen minyak dan kedai Mesra mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, langkah proaktif itu perlu diambil memandangkan kadar pengangguran masih lagi di tahap membimbangkan.
"Jika kurangnya sambutan daripada rakyat tempatan ia disebabkan oleh faktor gaji, maka Petronas perlu menilai semula skim gaji mereka.
"Sekiranya masalah berkaitan adalah latihan, maka inisiatif perlu diambil untuk melatih dan menarik minat warga tempatan.
"Oleh itu, Petronas perlu lebih peka dalam menangani perkara ini kerana kita perlu memanfaatkan tenaga kerja tempatan," ujarnya.
Bagi mengatasi masalah itu, beliau menyarankan Petronas melakukan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk memahami keadaan dan penyelesaian yang sesuai.
"Saya percaya wakil-wakil rakyat termasuk peringkat DUN dan juga Parlimen akan mengalu-alukan sebarang kerjasama dari PETRONAS jika entiti berkenaan serius dalam membuka peluang kepada sumber tenaga tempatan.
"Ini bukan sahaja akan memperbaiki hubungan PETRONAS dengan komuniti tempatan, tetapi juga akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan dan kehendak tenaga kerja tempatan," kata beliau lagi.
Commentaires