Petronas gergasi petroleum negara sepanjang usia penubuhannya selama 50 tahun telah berjaya melengkapkan mandat awal penubuhan dengan menyeimbangkan perniagaan dan sumbangan hasil kepada pembangunan negara.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu telah dapat dilakukan oleh Petronas menerusi kepercayaan dan sokongan erat pemegang taruh serta rakan niaganya dari serata dunia.
"Penghargaan tertinggi buat pimpinan dan kakitangan Petronas yang bukan saja menjadi tunjang kekuatan ekonomi Malaysia, bahkan menjadi kebanggan negara kerana telah mempertahankan prinsip tatakelola dan tatanan yang baik sepanjang 50 tahun sejarah gemilang syarikat.
"Saya tegaskan Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka, akan terus menyokong usaha Petronas untuk menjalin kerjasama strategik dengan semua negara," kata Anwar di Facebook sempena menghadiri sambutan ulang tahun Petronas ke-50 bersama pemegang taruh dan rakan niaga dari lebih 27 negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurut PM, ke hadapan, Petronas sewajarnya lebih menumpukan kepada teknologi terkini, apatah lagi dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan yang mengutamakan teknologi hijau maka Petronas perlu berperan sebagai pemangkin matlamat pelepasan karbon sifar bersih.
"Saya percaya seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian Petronas yang berterusan menjadi antara perkara pokok dalam perbincangan dua hala antara saya dengan pimpinan dunia.
"Saya zahirkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan rakan niaga Petronas yang terus memberi sokongan dan berharap kerjasama ini akan terus diperkukuh. Semoga Petronas terus mencatat kejayaan membanggakan, Insya-Allah," katanya lagi.
Untuk rekod, Petronas merupakan sebuah syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia.
Ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, syarikat ini telah mendapat hak keseluruhan terhadap sumber-sumber minyak dan gas di Malaysia dan diamanahkan dengan tanggungjawab membangunkan dan menambah nilai kepada sumber-sumber tersebut.
Comments