Jurang perbezaan Harga runcit petrol di Malaysia yang jauh lebih murah berbanding negeri jiran menyebabkan bahan api itu banyak diseludup keluar dan dijual di wilayah Selatan Thailand secara berleluasa.
Petrol 95 yang bersubsidi di jual di tepi-tepi jalan di wilayah selatan itu dengan diletakkan dalam botol plastik satu liter atau sembilan liter.
Minyak petrol seludup itu dijual pada harga sekitar RM3.50 hingga RM3.90 bagi satu liter, manakala RM29 hingga RM32 bagi sembilan liter - jauh lebih tinggi berbanding harga di Malaysia iaitu RM2.05 seliter.
Ia sekali gus membuatkan peniaga meraih keuntungan berlipat kali ganda memandang harga pasaran petrol di negara itu mencecah 44.63 bath (RM5.70) seliter.
"Saya sudah menjual petrol dari Malaysia selama 10 tahun dan sambutan memang menggalakkan kerana permintaan tinggi.
"Ini kerana harga yang kita jual jauh lebih rendah berbanding petrol di Thailand. Memang petrol dari Malaysia dijual di sepanjang jalan bermula dari Golok hingga Pattani.
"Di Pattani mungkin tidak banyak kerana lokasi sudah jauh, namun dari Golok hingga Narathiwat memang banyak dengan jarak satu warung ke warung hanya sekitar 100 meter sahaja," katanya seorang seorang peniaga di Narathiwat dipetik dari laporan Harian Metro hari ini.
Menurut laporan itu, diesel turut dijual di wilayah selatan Thailand namun permintaannya berkurangan selepas dasar penyasaran subdisi yang dilaksanakan kerajaan Malaysia pada Jun lalu.
Ini bermakna langkah penyasaran subsidi itu berjaya mengekang aktiviti penyeludup kerana kurangnya permintaan terhadap bahan bakar itu kerana harganya kini hampir sama di Thailand sekali gus dapat mengelak subsidi rakyat tempatan mengalirkan ke luar negara.
Sementara itu, peniaga dikenali Yahya, 46, pula berkata selain petrol, diesel turut dijual di warung tepi jalan di sini, tetapi mendakwa permintaan terhadapnya berkurangan selepas penarikan subsidi oleh kerajaan Malaysia, sekali gus menyebabkan harganya hampir sama dengan dijual di Thailand.
"Jika dulu sambutan terhadap petrol dan diesel sama tinggi, namun kini hanya sambutan terhadap petrol tinggi. Harga diesel pula dijual RM39 hingga RM42 bagi tong sembilan liter," kata seorang lagi peniaga.
Harga runcit diesel di Malaysia dijual pada harga RM2.95 seliter manakala RM2.15 bagi Sabah dan Sarawak yang kekal menikmati subsidi. Meskipun diapungkan, harga diesel di Malaysia masih lebih rendah berbanding Thailand yang dijual pada harga 32.97 bath (RM4.21) seliter.
Comments