
Oleh: Akmal Manaf
Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi menyifatkan perayaan Ponggal bukan hanya sekadar sambutan tetapi wadah untuk terus memupuk dan memperkuatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, kesepaduan antara rakyat adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan semangat kebersamaan sesama insan.
"Saya telah mengakhiri ucapan saya dengan menekankan 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' merupakan kekuatan kita bersama dan keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik, kepelbagaian agama serta kekayaan budaya.
"Tradisi juga menjadi tunjang kekuatan kita seperti yang diraikan bersama baru-baru ini di Pesta Ponggal. Inilah kekuatan kita dan saya menzahirkan harapan semoga kekuatan, ukhuwah dan persaudaraan sesama kita terus kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau merasmikan Pesta Ponggal dan Sukan Rakyat peringkat Daerah Tanah Merah di Ladang Kerilla, Kelantan.
Majlis perasmian penutupan pula disempurnakan Pengerusi KEADILAN MPN Kelantan merangkap Ketua Cabang KEADILAN Tanah Merah, Datuk Seri Suparadi.
Menurut Karen Kasturi, sambutan yang julung kali diadakan bersama pimpinan KEADILAN di Ladang Kerilla itu merupakan satu lembaran sejarah kepada parti.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur (Persatuan Masyarakat Madani India Tanah Merah, Kelantan) kerana menjemput saya, Datuk Seri Suparadi dan Pengerusi Komuniti Madani Tanah Merah, Khairul Anuar untuk menghadiri sambutan kali ini.
"Saya telah mengimbas sedikit sebanyak perjuangan selama 25 tahun parti KEADILAN dan komitmen Datuk Seri Anwar dalam perjuangannya yang penuh ranjau duri dan akhirnya membuahkan kejayaan.
"Saya juga menzahirkan penghargaan kepada pimpinan akar umbi terutamanya otai-otai reformasi yang telah bersama sepanjang perjuangan KEADILAN," ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Wanita KEADILAN Cabang Machang, Edwina, dan Timbalan Pengerusi Otai Reformasi Negeri Kelantan, Hazizi Mamat.
Comments