Pesta Ponggal yang dianjurkan KADUN Batu Uban, Pulau Pinang semalam mencipta sejarah apabila berjaya membina belanga Ponggal terbesar yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan menyifatkan, 'Pesta Ponggal MADANI dan Kebudayaan' yang dianjurkan KADUN beliau merupakan sambutan kebudayaan yang menjadi signifikan kepada perpaduan masyarakat terdiri daripada berbilang kaum di negara ini.
Katanya, Pesta Ponggal bukan lagi simbolik keagamaan, sebaliknya ia disambut sebagai melambangkan kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki dalam kehidupan seharian.
"Sambutan (Ponggal) berkenaan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang di Gelugor.
"Ahli jawatankuasa berjaya menghasilkan belanga setinggi 17 kaki itu dalam tempoh tiga hari.
"Hiasan bunga segar sebanyak 200 kilogram (kg) turut digunakan sehingga berjaya mencipta rekod dalam MBOR," katanya dipetik.
Menurut Kumaresan yang juga Naib Pengerusi KEADILAN negeri, pelbagai program lain turut berlangsung antaranya aktiviti memasak nasi manis (ponggal) secara tradisional menggunakan 300 periuk tanah.
Dalam majlis sama, sebanyak 21 buah kereta lembu turut menyertai perarakan sejauh dua kilometer (km) dari Taman Brown ke Kompleks Belia dan Sukan Gelugor.
Perarakan yang julung kali diadakan itu menarik perhatian lebih 2,000 masyarakat berbilang kaum dalam program anjuran Pusat Khidmat ADUN Batu Uban itu.
Comments