Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini amat bermakna kerana kali pertama disambut di bawah pentadbiran Malaysia Madani yang menyantuni rakyat bawahan.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai - satu perayaan menghormati warisan budaya dan adat resam masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak - akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.
"Meskipun dari rumpun kebudayaan yang berbeza, kita boleh bersyukur kerana negara aman dan makmur selama kita bersatu hati mengharungi cabaran bersama. Sesuai pendekatan KEADILAN, saya percaya bahawa masyarakat inklusif adalah penting untuk menjaga keharmonian dan kesatuan negara yang berbilang kaum dan agama.
"Namun kita tidak harus lupa sejarah. Rakyat harus mengambil iktibar daripada penubuhan Malaysia yang berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjamin hak-hak dan kedudukan Sabah, Sarawak sebagai rakan seangkatan dengan Semenanjung.
"Genap 60 tahun perjanjian itu telah menyatupadukan 3 wilayah dalam satu gagasan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu lagi, semangat Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memangkinkan pelaksanaan sepenuhnya MA63.
Oleh itu, rakyat di Sabah dan Sarawak seharusnya lebih bergembira merayakan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di bawah Kerajaan Perpaduan dan membawa negara ke era baharu yang memberi ruang serta peluang kepada seluruh rakyat menikmati kesejahteraan hidup.
"Malaysia Madani telah mencetuskan laungan “Kebangkitan Negara Bangsa”, seperti yang disuarakan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Konvensyen Perpaduan 14 Mei lepas.
"Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan kerjasama antara semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau wilayah.
"Semoga sambutan tahun ini, memulakan zaman keemasan buat Sabah dan Sarawak," katanya.
Justeru, beliau mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” dan Selamat Hari Gawai Dayak “Gayu Guru Gerai Nyamai” kepada yang merayakannya.
Comentarios