Pesta jualan Deepavali Semenyih 2022 berbentuk karnival yang dianjurkan oleh Persatuan Pemberdayaan Kebajikan Dan Sukarelawan Negeri Selangor atau lebih dikenali sebagai “Selangor WAVE” akan diadakan selama 10 hari sepanjang 14 Oktober 2022 hingga 23 Oktober ini.
Menurut Ahli Majlis Zon 21 MPKJ, A Ramachandran, karnival itu diadakan dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ahli Majlis Zon 21 MPKj dan Ketua Komuniti India DUN Semenyih di pekan Semenyih bermula jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setia hari.
"Penganjuran Pesta Jualan Deepavali 2022 Semenyih ini merupakan suatu inisiatif seiring dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor membangunkan semula dan memperkasa sektor peniagaan kecil dan sederhana yang terkesan sewaktu wabak pandemik Covid-19.
"Antara manfaat yang akan dinikmati oleh peniaga di pesta jualan tersebut adalah mereka hanya perlu menanggung kos permit MPKj, disediakan Skim pinjaman i-Bermusim untuk usahawan India sempena Deepavali, pengiklanan percuma produk jualan dan sebagainya," kata beliau.
Tambah Ramachandran, pelbagai aktiviti seperti program memasak muruku, pertandingan melukis inai (henna), pertandingan melukis kolam, persembahan urumi melam, nyanyian dan tarian, “meet & greet with local artist”, cabutan bertuah dan lain lain juga menanti para pengunjung sepanjang pesta jualan tersebut berlangsung.
"Peniaga dan usahawan setempat digesa merebut peluang ini yang diyakini dapat memberikan pelbagai impak positif dalam melariskan jualan serta menjana pendapatan tambahan sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi," katanya.
Selain Ramachandran, Ketua Komuniti Kaum India DUN Semenyih, K Nadesan; Penasihat Selangor Wave, M Rajendran Kumar dan Pengerusi Selangor Wave, L Vishnu Dev turut mengalu alukan penyertaan orang ramai dan peniaga dalam karnival berkenaan.
Comentários