Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN KONVENSYEN: Tanpa sedar air mata saya bertakung sewaktu mendengar ucapan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengimbas nostalgia perjuangan parti KEADILAN.
Rasa sebak, bangga, terharu yang bercampur baur serta membuai rasa.
Bangga dan amat bersyukur kerana saya juga berpeluang dapat melihat sosok tubuh yang diceritakan oleh Saifuddin telah menjadi Perdana Menteri.
Terharu kerana KEADILAN yang sering dihina oleh parti-parti elit kini usianya sudah mencecah 25 tahun. Tokoh-tokoh hebat dalam KEADILAN telah menduduki kerusi Putrajaya.
Hanya mereka yang mengerti sahaja dapat memahami kenapa 'orang lama' boleh menitiskan air mata saat mengenang perjuangan lalu yang pahitnya hingga ke ulu hati.
Cerita duka dan air mata
Sejarah perjuangan ini amat panjang yang penuh cerita duka dan air mata.
Sebagai orang lama dalam perjuangan KEADILAN, ucapan Saifuddin di Konvensyen Khas sempena ulang tahun ke-25 wajar diberi perhatian ahli-ahli parti, khususnya generasi baharu.
Dalam ucapannya, beliau bukan saja mengimbas nostalgia perjuangan sejak awal penubuhan parti, tetapi juga berkongsi isu komunikasi surat menyuratnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika di dalam penjara, sewaktu awal parti ditubuhkan.
Surat Anwar
Katanya, berdasarkan surat yang Anwar tulis kepadanya, Presiden KEADILAN itu adalah seorang yang sentiasa optimis kepada perjuangan parti, tidak kira apa jua keadaan.
"Walaupun ketika parti mengalami prestasi hambar semasa PRU 2004, Anwar tetap menunjukkan sikap optimis dan selalu memberi kata-kata yang memberangsangkan agar perjuangan diteruskan," ujarnya.
Saifuddin mengimbau kembali detik KEADILAN hanya memenangi satu kerusi pada tahun berkenaan, iaitu melalui presidennya semasa itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Walaupun kalah, kata Saifuddin, Anwar - yang berada di sebalik tembok penjara ketika itu - masih menulis surat mengucapkan tahniah kepada KEADILAN atas 'prestasi cemerlang’.
"Anwar ketika itu meminta ahli parti bertenang. Beliau juga mengarahkan saya mengumpul maklumat tentang kekuatan dan kelemahan parti untuk persiapan masa depan," katanya lagi.
Sempena usia KEADILAN 25 tahun, Saifuddin berkata, ahli-ahli parti wajar gembira kerana parti sudah berjaya menerajui kerajaan dan ia sebahagiannya adalah kerana sikap optimis yang ditunjukkan oleh Anwar selama ini.
Generasi pelapis
Namun di sebalik itu, katanya, meski ramai yang tidak dapat merasai nikmat tersebut perjuangan untuk masa depan perlu diteruskan oleh generasi pelapis agar lebih banyak kejayaan parti yang memberi faedah kepada rakyat dapat dilakukan.
Berkaitan reformasi, Saifuddin menegaskan, agenda yang dibawa KEADILAN itu mesti diteruskan dan ia harus diterjemahkan melalui dasar serta program yang akhirnya boleh dinikmati oleh rakyat.
Beliau mengingatkan bahawa kejayaan KEADILAN dalam usaha reformasi tidak boleh diukur melalui bilangan peranan yang dipegang oleh ahli parti dalam kerajaan semata-mata.
"Kejayaan reformasi, sama ada di mata kita atau di mata rakyat, akan diukur dengan kejayaan kita menterjemahkannya melalui dasar yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
"Ia bukan melalui berapa ramai menteri, atau menteri besar, exco, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri.
"Itu bukan ukuran kejayaan kita, ukuran kejayaan kita ialah sejauh mana rakyat mendapat faedah daripada reformasi yang kita perjuangkan itu," pesannya.
Belajar dari kegagalan
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ahli-ahli KEADILAN perlu belajar daripada pengalaman gerakan reformasi di beberapa negara lain yang kandas di tengah jalan.
Sebahagian besar, tambah beliau, adalah kerana pemimpinnya mengabaikan cita-cita pembaharuan yang mereka laungkan selama ini sebaik sahaja berjaya mengambil alih kerajaan.
Memetik gerakan reformasi di Amerika Latin dan Eropah, beliau berkata, pemimpin di negara terbabit meninggalkan aspirasi masing-masing apabila mereka mula sibuk ‘mengumpul kekayaan’ untuk kepentingan peribadi.
"Ketika mereka menjadi pembangkang, mereka menderita; apabila mereka menjadi kerajaan dan menikmati faedah (menjadi kerajaan), mereka lupa prinsip asas perjuangan mereka.
"Sebaliknya, mereka mengumpul kekayaan - yang akhirnya tidak membawa kejayaan kepada perjuangan reformasi," tambahnya.
Azimat bermakna
25 tahun telah berlalu dan sekurang-kurangnya untuk menuju 25 tahun perjuangan mendatang, apa yang dititipkan oleh Saifuddin sempena ulang tahun ke-25 KEADILAN ini adalah azimat yang amat bermakna.
Mencontohi serta meneladani sikap optimis Anwar, sentiasa ingat reformasi yang diperjuangkan adalah untuk manfaat rakyat dan jangan sesekali lupa diri dengan keasyikan mengumpul kekayaan apabila sudah menjadi kerajaan - jika ini dijadikan pegangan oleh semua ahli-ahli parti, yakinlah parti ini akan kekal selamanya.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments