Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Sehari selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh tidak menolak kemungkinan UMNO akan bertanding solo dalam PRU15 akan datang, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas memberi bayangan sebaliknya.
Katanya, sokongan ahli UMNO semata-mata tidak mungkin mampu memenangkan parti dalam pilihanraya.
Hal itu kerana katanya, pengundi di luar yang bukan ahli UMNO adalah lebih besar dan merupakan penentu kemenangan yang sebenar.
Pengundi atas pagar jadi penentu
"Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan “go solo”, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?
"Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada?
"Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?
"Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana.
"Yang di luar itu jauh lebih besar peratusannya, dah jauh lebih ramai jumlahnya," kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur kelmarin.
Ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Khamis lalu, Dr Akmal tidak menolak kemungkinan parti itu bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Beliau berkata, UMNO masih belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan siapa pada PRU16.
UMNO bukan lagi parti dominan
Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa UMNO kini bukan lagi parti dominan seperti sebelumnya.
Untuk itu, tegas beliau UMNO mesti keluar daripada “echo chamber” dan zon selesa.
"UMNO mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks," katanya.
Dalam membentuk persefahaman, beliau menegaskan, ia perlu dinilai apakah kerjasama mesti dibentuk sebelum memasuki gelanggang pilihanraya ataupun selepasnya.
"Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan.
"Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihanraya atau selepas pilihanraya barulah dibuat pertimbangan? Kesemua ini memerlukan percaturan semasak-masaknya.
"Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan," kata Ahmad Zahid lagi.
Comments