Oleh: Azuan Ab Rahman
Dakwaan pemimpin Pas kononnya sekolah vernakular Cina mempunyai kemudahan lebih baik berbanding sekolah kebangsaan kerana kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana kepada sekolah jenis itu dibidas Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Menurut Choon Man, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man itu bukan sahaja tidak berasas tetapi juga cubaan secara terang-terangan untuk mempolitikkan perkara yang sepatutnya melampaui kepentingan partisan.
"Dakwaan Tuan Ibrahim bahawa kerajaan menyediakan lebih banyak pembiayaan kepada sekolah jenis kebangsaan, seperti sekolah Cina, dan bukannya sekolah kebangsaan, adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan.
Bertentangan dengan kenyataan Tuan Ibrahim, Chiew berkata, kerajaan menyediakan pembiayaan yang saksama kepada semua sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan tanpa mengira klasifikasi mereka.
"Bagi sekolah jenis kebangsaan, termasuk sekolah Cina dan mubaligh, kerajaan memang menyediakan tahap pembiayaan penyelenggaraan tertentu.
"Bagaimanapun, selebihnya sumber untuk sekolah-sekolah ini datang daripada derma awam dan sokongan masyarakat – satu amalan yang mantap yang membolehkan sekolah vernakular berkembang maju dan memenuhi keperluan pendidikan yang pelbagai di negara kita," tambahnya.
Sementara itu, Choon Man menyatakan kebimbangannya terhadap dakwaan Tuan Ibrahim yang dilihat cuba memainkan naratif politik berbanding menangani keperluan pendidikan sebenar.
Tegas beliau, sebagai wakil rakyat, Tuan Ibrahim seharusnya bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan untuk meningkatkan hasil pembelajaran bagi semua kanak-kanak Malaysia.
"Saya menggesa Tuan Ibrahim dan Pas supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan dan sebaliknya fokus mencari penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada para pelajar kita," katanya lagi.
Comments