Peruntukan RM320 juta bertujuan peningkatan capaian internet untuk menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat sebagaimana dibentang dalam Belanjawan 2025 amat dialu alukan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya hari ini menyambut baik pengumuman itu.
Kata suruhanjaya itu, peruntukan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan internet di IPTA disasar dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.
"Begitu juga peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar akan membantu meningkatkan capaian Internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara.
"MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC berkata rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak bakal meningkatkan keupayaan internet dan lebih memudahkan urusan berkaitannya.
Hal itu, kata suruhanjaya itu, akan berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.
"MCMC komited untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam memastikan capaian Internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu lagi.
Comments